Jumaat, 14 Februari 2014

Al-Habib Ali Bin Muhammad Bin Husein Al-Habsyi

الحمد لله الذي علم بالقلم ، علم الانسان ما لم يعلم ، وصلاة والسلام على سيدنا محمد أفصح العرب والعجم ، خاتم النبيين والمرسلين وعلى آله وأصحابه الطاهرين خيرالأمم . أما بعد ،


Habib Ali Bin Muhammad al-Habyi



Alhamdulillah, bertemu lagi muhajir dengan sekalian pembaca yang sering dahagakan ilmu para-para habaib mahupun para-para ulama salafus soleh. Pada kali ini, muhajir ingin membawa satu biografi seorang ulama habaib yang terkenal bagi para-para penelaah ilmu tasawwuf. Mungkin tidak sangat dikenali akan kewujudannya namun dengan izin Allah, muhajir akan berusaha untuk membawa rasa kecintaaan kepada ulama ini dengan sedikit perkongsian daripada buku Ulama Warisan Rasulullah. 

Terlebih dahulu diingatkan kepada para pembaca agar menghayati dengan hati yang suci dan bersih tentang kalam penulisan muhajir ini agar kita sama-sama mendapat hikmah yang besar daripada Allah s.w.t.. Ulama yang ingin muhajir tintakan ini adalah salah seorang pengarang kitab maulid terkenal " Simtud Durar " iaitu al-Habib Ali bin Muhammad bin Husein al-Habsyi.

Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi dilahirkan pada hari Jumaat, 24 Syawal 1259 H di Qasam, sebuah kota di Hadhramaut. Nama penuh beliau ialah ‘Ali bin Muhammad bin Hussin bin ‘Abdullah bin Syeikh bin ‘Abdullah bin Muhammad bin Hussin bin Ahmad Shohib asy-Syi’ib bin Muhammad Asghar bin ‘Alwi bin Abu Bakar al-Habsyi bin ‘Ali bin Ahmad bin Muhammad Asadullah bin Hasan at-Turabi bin ‘Ali bin al-Faqih al-Muqaddam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Shohib Mirbath bin ‘Ali Khali’ Qasam bin ‘Alwi bin Muhammad bin ‘Alwi bin ‘Ubaidullah bin al-Muhajir Ahmad bin ‘Isa bin Muhammad an-Naqib bin ‘Ali al-‘Uraidhi bin Ja’far ash-Shodiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zain al-‘Abidin bin Hussin as-Sibth putera kepada Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib dan Sayyidah Fathimah az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w..

Ayahanda beliau adalah merupakan Mufti Syafi’iyyah di Makkah sejak tahun 1270 H menggantikan Syaikh Ahmad Dimyathi yang wafat. Setelah kewafatan Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi, tempatnya diganti oleh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan. (Diantara ulama Melayu yang sempat berguru kepada Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi ialah Syaikh Arsyad Thawil Banten, Jawa Barat. Beliau juga berguru kepada al-Muhaddits Habib Hussin bin Muhammad bin Hussin al-Habsyi. Syaikh Mahfuz Termas juga belajar hadits kepada al-Muhaddits Habib Hussin bin Muhammad al-Habsyi, iaitu saudara kepada Habib ‘Ali al-Habsyi). Manakala bonda beliau yang berasal dari Syibam adalah seorang sayyidah shalihah, ‘arifahbillah dan da’iyyah ilallah ‘Alawiyyah binti Hussin bin Ahmad al-Hadi al-Jufri. Saudara-saudari beliau ialah Abdullah, Ahmad, Hussin, Syeikh dan Aminah. 

Sejak beliau dididik oleh ayahanda beliau, Habib Muhammad bin Hussin al-Habsyi (ayahanda beliau berangkat ke Mekah dan tinggal disana ketika usia Habib ‘Ali 7 tahun. Dan urusan pendidikan beliau seterusnya diambil oleh bonda beliau) dan bonda beliau Hubabah ‘Alawiyyah binti Hussin al-Hadi al-Jufri. Seterusnya beliau belajar dengan beberapa ulama, antaranya:


1. Habib Hasan bin Shaleh al-Bahr

2. Al-‘Allamah al-Habib Abdullah bin Hussin bin Thahir (syaikh fath dan tahkim kepada ayahanda beliau)

3. Al-‘Arifbillah al-Habib Abu Bakar bin ‘Abdullah al-‘Athash (shaikh fath beliau)

4. Al-‘Allamah Habib Umar bin Hasan bin ‘Abdullah al-Haddad
5. Al-‘Allamah ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhur
6. Al-Habib ‘Ali bin Idrus bin Syihabuddin
7. Al-Habib Umar bin ‘Abdurrahman Bin Syahab
8. Al-Habib Mohsin bin ‘Alwi al-Saggaf
9. Al-Habib ‘Abdul Qadir bin Hasan bin Umar bin Saggaf
10. Al-Habib Muhammad bin ‘Ali bin ‘Alwi al-Saggaf
11. Al-Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhar
12. Al-Habib ‘Idrus bin Umar al-Habsyi
13. Sayyid ‘Abdullah bin Hussin bin Muhammad
14. Syaikh Muhammad bin Ibrahim

Beliau berangkat ke Mekah pada tahun 1276 H atas permintaan ayahanda beliau, dan tinggal di sana selama 2 tahun. Ketika itu beliau berusia 17 tahun. Di Hijaz, beliau mengambil peluang menuntut ilmu dengan para ulama di sana. Ketika di Mekah, beliau, abangnya Habib Hussin dan Habib ‘Alwi al-Seggaf sering mengulangkaji kitab Minhaj dan 12 buah syarahnya bahkan mereka menghafalnya.

Melalui pengembaraan mencari ilmu dan menemui para ‘alim ulama di Hadhramaut dan Hijaz, maka Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi menguasai dengan baik pelbagai ilmu, sama ada yang zahir mahupun yang batin. Sekembalinya dari Mekah, maka bermulalah pula kegiatan beliau berdakwah dan mengajar. Beliau menjadi imam, berdakwah, mengajar dan beribadah di Masjid Hambal. Lebih kurang 30 tahun beliau berkhidmat di sana.

Setelah itu, beliau membangunkan ribat beliau sendiri di Kota Seiwun, untuk para penuntut ilmu. Kemudian beliau membangunkan pula masjid yang dinamakan Masjid Riyadh berhampiran dengan ribat yang beliau telah bangunkan. Masjid tersebut dibangunkan pada tahun 1303. Di Masjid inilah pengajian hadis diadakan pada setiap hari Isnin. Dibacakan Kutubus Sittah atau al-Ummahat as-Sit.

Masjid Riyadh, Seiwun, Hadhramaut, Yaman


Ketika usia beliau mencapai 68 tahun, beliau mengarang sebuah kitab maulid yang diberi nama Simtud Durar. Sebuah kitab maulid yang masyhur dan penuh barokah, yang sehingga kini dibaca di Hadhramaut, Nusantara dan Afrika. Beliau mula mengarang pada Khamis, 26 Safar 1327 H dan menyempurnakannya pada 10 Rabiulawwal 1327 H. Hasil daripada perkahwinannya, Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi dikurniakan 5 orang cahaya mata iaitu ‘Abdullah, Muhammad, Ahmad, ‘Alwi dan Khadijah.

Kitab Maulid Simtud Durar

Al-‘Arifbillah al-Habib ‘Ali bin Muhammad al-Habsyi meninggalkan ramai anak-anak murid, antaranya, anak-anak beliau sendiri iaitu ‘Abdullah, Muhammad, Ahmad dan ‘Alwi; Al-‘Allamah al-Habib Syaikh bin Muhammad (adik beliau); Al-‘Allamah al-Habib Ja’far bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Seggaf al-Seggaf ; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdul Qadir bin ‘Abdurrahman bin ‘Ali bin ‘Umar bin Seggaf al-Seggaf (ayahanda kepada al-Marhum al-Habib ‘Abdul Qadir as-Seggaf – Jeddah) ; Al-‘Allamah al-Habib Muhammad bin Hadi bin Hassan al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib Muhsin bin ‘Abdullah bin Mihsin al-Seggaf; Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdul Qadir bin Salim bin ‘alwi al-‘Aidarus; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Zein al-Habsyi; Al-‘Allamah al-Habib Hasan bin Muhammad bin Ibrahim Bilfaqih; Al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin ‘Abdurrahman bin Muhammad al-Masyhur; Al-‘Allamah al-Habib ‘Abdullah bin Umar asy-Syatiri; dan ramai lagi.

Salah seorang murid beliau ialah putera beliau sendiri iaitu Habib Alwi bin Ali al-Habsyi yang berdakwah sehingga ke Indonesia. Habib Alwi mendirikan Masjid Riyadh di Kota Solo (Surakarta). Puteranya ini terkenal dengan peribadi yang amat luhur, lemah lembut, sopan santun serta ramah-tamah terhadap siapa jua terutama kaum yang lemah, fakir miskin, yatim piatu dan sebagainya. Rumah kediamannya selalu terbuka untuk para tamu daripada pelbagai golongan dan tidak pernah sepi daripada pengajian dan pertemuan-pertemuan keagamaan. Beliau meninggal dunia di Kota Palembang pada tanggal 20 Rabiul Awal 1373 H dan dimakamkan di Kota Surakarta.


Habib Alwi bin Ali al-Habsyi

Masjid Riyadh, Solo, Surakarta, Indonesia

Antara kata-kata hikmah dan nasihat al-Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi:



1. Pelajarilah cara melawan hawa nafsu, pelajarilah adab. Tuntutlah ilmu, baik dari orang dewasa mahupun kanak-kanak. 


2. Jauhilah dengki dan irihati. Ketahuilah kedua sifat ini dapat mencabut keberkatan ilmu.

3. Allah tidak mensyariatkan solat berjemaah atau solat Jumaat atau solat hari raya, kecuali kerana ada rahsia yang Allah letakkan dalam kumpulan manusia. Allah telah menjadikan untuk umat Muhammad s.a.w. saat-saat untuk berkumpul setiap tahun, setiap minggu dan setiap hari. Allah tidak mensyariatkan pertemuan-pertemuan itu dengan sia-sia. Allah mensyariatkannya, tidak lain kerana keistimewaan yang terdapat dalam setiap pertemuan. 

4. Penghuni zaman ini hanya berlumba-lumba mencari dunia. Mereka hanya menyukai orang yang memiliki banyak harta, kedudukan yang tinggi dan kemasyhuran. Jika seseorang mempunyai anak yang pandai dalam urusan dunia dan seorang lagi anak yang pandai dalam ilmu agama, maka ia lebih menyayangi anak yang pandai dalam urusan dunia.

5. Manusia di zaman ini hendaknya menjaga cahaya imannya, kerana pergaulan dengan orang-orang yang diliputi kegelapan hanya akan menularkan kegelapannya. 

6. Alangkah seringnya hati berbolak-balik. Jika kau berusaha hudhur di dalam solat, zikir atau tilawah, maka hatimu mengajakmu berkelana ketempat-tempat lain. Di zaman ini tidak ada seorang pun yang mencari tabib bagi penyakit hatinya. Jika ada orang sakit kepala, ia akan segera berkata,: “Ambilkan ubat sakit kepala!” Jika ada yang sakit gigi, ia akan berkata,: Ambilkan ubat sakit gigi! Namun jika terkena penyakit hati, tidak ada yang berusaha mencari tabibnya (yakni syaikh mursyid yang dapat merawat penyakit-penyakit hati).

7. Hadirilah majlis-majlis ilmu dengan hati dan telinga yang mahu mendengar. Keluarlah daripada majlis itu dengan membawa faedah. Dan faedah majlis yang sebenarnya adalah mengamalkan apa yang telah kalian dengar. Setiap orang hendaknya menujukan nasihat yang dia dengar untuk dirinya sendiri. Terimalah nasihat dengan senang dan hati yang lapang. 

8. Wahai saudara-saudaraku, hati-hati telah menjadi kaku dan beku, tidak ada lagi bekas dan pengaruh daripada al-Quran mahupun nasihat para ulama yang selalu didengarnya. Sedang kita tidak tahu apa gerangan penyebab kekerasan hati itu. Ketahuilah bahawa penyebab terbesar dan yang paling dominan adalah kerana makanan yang kotor (syubhat atau haram) yang masuk ke perut kita, ketika ini banyak orang tidak mempedulikan dan bahkan tidak takut untuk jatuh pada keharaman. Mereka meremehkan masalah ini. Bagaimana mungkin nasihat dan peringatan yang disampaikan akan memberikan atsar (pengaruh) dan membekas di hati, sedangkan makanan yang dimakan adalah haram?Berusahalah mencari pekerjaan dan makanan yang halal dan jauhilah keharaman. Dan ketahuilah bahawa kewarakan ini tidak hanya pada makanan sahaja tetapi mencakupi semua aspek pekerjaan kita. Berbuat apapun, tetapi harus dilandasi dengan keberhati-hatian dan kewaspadaan. Jika masih ragu maka tinggalkanlah kerana dikhuatiri akan terjerumus pada keharaman dan akibatnya pasti celaka.

9. Jika riwayat hidup kaum ‘arifin dibacakan kepada orang yang beriman, maka imannya kepada Allah akan semakin kukuh. Sebab, kehidupan mereka merupakan cerminan daripada kitabullah yang di dalamnya terkandung ilmu orang-orang terdahulu dan yang datang kemudian atau refleksi daripada hadis Rasulullah s.a.w. atau daripada pengetahuan yang dia terima langsung daripada Nabi s.a.w. tanpa perantara.

Banyak lagi nasihat dan kata-kata hikmah beliau sebagaimana yang terkandung dalam beberapa buah kitab seperti Majmu’ Washoya, Majmu’ Kalam al-Habib ‘Ali al-Habsyi, Jawahir al-Anfas fima Yurdhi Rabb an-Nas, al-Mawa’idz al-Aliyyah min al-Majalis al-‘Aliyyah dan lain-lain. Sesungguhnya nasihat dan kata-kata hikmah beliau sentiasa membasahi hati yang gersang bak air hujan yang membasahi tanah yang tandus sehingga menyuburkannya. Memang benarlah bahawa ilmu (hikmah) yang disampaikan seorang ‘arifbillah, akan memberikan ketenangan dan kesejukan hati ibarat air hujan memberikan kesuburan pada pepohon. Dan sebagaimana kata orang, jika nasihat itu keluar daripada hati, maka ia akan masuk ke hati.

Majmu' Wasoya

Al-Arifbillah al-Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi wafat pada waktu Zohor, hari Ahad, 20 Rabiul Akhir 1333 H dan dimakamkan di sebelah barat Masjid Riyadh.

Makam al-Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi
Seiwun, Hadhramaut, Yaman

Demikianlah serba sedikit maklumat yang muhajir dapat singkapkan tentang al-Arifbillah al-Habib Ali bin Muhammad bin Husein al-Habsyi melalui riwayat hidup beliau. Moga-moga dengan penulisan ini, para pembaca dapat menyuburi hati dengan rasa cinta kepada ulama habaib ini dan segala salah dan silap dalam menyiapkan biografi ini, mohon diampunkan jikalau terguris sesetengah hati pembaca. Semoga kita semua mendapat keampunan daripada Allah s.w.t., wallahu'alam.

Sumber : [1] http://ahlulbaitrasulullah.blogspot.my/

                 [2] Buku Ulama Warisan Rasulullah, Biografi Ulama Habaib, M.A Uswah


وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وبارك وسلم والحمدلله رب العالمين



                  





















Tiada ulasan:

Catat Ulasan