Sabtu, 15 Februari 2014

Kepasrahan Kepada Allah

الحمد لله الذي علم بالقلم ، علم الانسان ما لم يعلم ، وصلاة والسلام على سيدنا محمد أفصح العرب والعجم ، خاتم النبيين والمرسلين وعلى آله وأصحابه الطاهرين خيرالأمم . أما بعد ،



Alhamdulillah, puji syukur kepada Allah s.w.t. dengan nikmat ilmu yang telah diberikan kepada muhajir untuk terus menulis pena ini buat sekalian umat Nabi Muhammad s.a.w.. Dari zaman ke zaman, keterbukaan ilmu itu hanya kepada hati-hati orang yang menginginkan cahaya ilmu dan dengan cahaya ilmu itulah dibawa menghadap Allah s.w.t. dengan segala amal yang dilakukan dengan ilmu tersebut.

Muhajir ingin membawa satu untaian nasihat yang sangat berharga oleh seorang ulama sufi yang sangat masyhur iaitu Sultanul Auliya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Banyak nasihat-nasihat emas yang boleh kalian dapati daripada kalam beliau mahupun dalam penulisan kitab-kitab beliau turut mempunyai nasihat yang boleh menyucikan jiwa rohani ini. Muhajir ingin menyentuh satu nasihat daripada syeikh dalam kitab beliau iaitu al-Fath ar-Rabbani wa al-Faidh ar-Rahman berkenaan dengan " Kepasrahan Kepada Allah ".

Dalam kitab ini bertulis bahawasanya, Abu Muhammad menasihati :

" Merasa keberatan terhadap takdir Allah Azza wa Jalla,
itu beerti matinya agama, matinya tauhid, matinya tawakkal,
dan ikhlas. Hati orang mukmin tidak mengenal pertanyaan " kenapa "
dan " bagaimana " yang pengetahuannya sendiri tidak dapat
menjangkaunya. "

Takdir Allah selalu dipertikaikan oleh sesetengah umat yang tidak berpuas hati atau berputus asa dengan nikmat kurniaan Allah s.w.t.. Dikatakan oleh hati-hati mereka, mengapa pemberian ini begini?, mengapa apa yang aku minta tidak diberi?, mengapa boleh jadi sebegini?; yang sebenarnya mereka telah mematikan hati-hati mereka dengan tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Tidak sewajarnya seseorang itu apabila dikurniakan nikmat oleh Allah sedikit mahupun banyak boleh mengatakan percakapan-percakapan sedemikian.

Seperti kalam al-Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid :

"  Kalau permintaan yang kamu minta kepada Allah s.w.t.
itu tidak kunjung tiba, maka hendaklah kamu merasa selesa kerana
yang disimpan oleh Allah s.w.t. untuk kamu itu adalah 
perkara yang lebih baik daripada yang kamu minta. Dengan
tidak diberi apa yang kamu minta itu tersimpan rahsia yang
cukup besar yang hendak Allah s.w.t. kurniakan untuk kamu
di kemudian hari. "

Muhajir ingin membawa satu kisah sufi yang boleh kita jadikan teladan untuk memahami konsep takdir Allah di atas setiap musibah yang menimpa manusia. Pada suatu ketika Syuraikh berkata, " Musibah yang menimpa manusia termasuk dalam kategori musibah ringan, kecuali musibah yang menimpa agama (keimanan). Itulah musibah yang paling berat. "

Hal yang demikianlah yang mendorong Syuraikh selalu memuji Allah dan bersyukur kepada-Nya, kerana pada waktu dia ditimpa musibah masih dianugerahkan kesabaran zahir batin, dan masih sempat dikurniakan hidayah untuk mampu mengucapkan Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raji'un ( Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali ) sambil mengharapkan pahala daripada sisi-Nya. Abu Ishak memberikan komen, bahawa seseorang yang diuji Allah dengan musibah, mungkin dengan musibah itu Allah menyelamatkan dirinya daripada malapetaka yang lebih besar. Kerana itu musibah itu merupakan pemberian dan nikmat yang paling besar.

Begitulah penyampaian sedikit daripada muhajir yang faqir ini berkenaan dengan untaian nasihat daripada Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dalam kitabnya yang mulia. Semoga dengan penulisan ini, muhajir dan para pembaca dapat mengambil pengajaran dan menghayatinya dengan hati suci dan bersih akan nasihat syeikh agar kita sentiasa berdiri di pintu hadapan Allah s.w.t. dalam mengharapkan rasa syukur kurniaan Allah dengan takdir ketentuan-Nya, wallahu'alam.



وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وبارك وسلم والحمدلله رب العالمين

Tiada ulasan:

Catat Ulasan